JUPHA SOMNET yakin dapat menaiki podium dalam Kejohanan ACC untuk layak beraksi pada Sukan Komanwel 2018 di Australia.

Lantas dia dengan pantas bersedia menyahut cabaran yang ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu untuk disenaraikan secara merit sebagai pelumba wanita keempat ke temasya itu selain Fatehah Mustapa, Farina Shawati Mohd. Adnan dan Anis Amira Rosidi.

Pelumba berketurunan Siam berusia 24 tahun ini adalah satu-satunya calon yang menjadi harapan untuk beraksi dalam acara basikal trek endurance (jarak jauh) berbanding tiga lagi pelumba wanita yang akan beraksi dalam acara pecut.

“Kejohanan ACC biasa digunakan untuk melayakkan pelumba beraksi di Sukan Komanwel. Jadi saya perlu berusaha untuk berada pada kedudukan podium jika berhasrat menarik perhatian MOM untuk disenaraikan ke temasya itu.

“Memandangkan kuota pelumba yang diberi penganjur agak terhad, saya terpaksa mencatat pencapaian yang meyakinkan di ACC nanti supaya pemilihan saya ada merit dan mempunyai alasan yang kuat,” katanya merujuk kepada Kejohanan ACC yang dijadual berlangsung di Nilai dari 16-20 Februari nanti.

Mengenai peluangnya menaiki podium di ACC, Ju Pha yakin dapat melakukannya apabila menyertai acara scratch dan perlumbaan mata nanti.

JUPHA SOMNET yakin dapat menaiki podium dalam Kejohanan ACC 
untuk layak beraksi pada Sukan Komanwel 2018 di Australia.