JUPHA SOMNET berharap dapat meraih pingat emas dalam salah satu daripada tiga acara berbasikal pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. UTUSAN/fauzi baharudin.

Itu harapan pelumba basikal wanita negara, Jupha Somnet yang disenaraikan beraksi bukan sahaja dalam basikal trek tetapi juga basikal lebuh raya pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kali ini.

Selepas kecewa kerana hanya membawa pulang satu gangsa pada temasya 2015 di Singapura menerusi acara kriterium (lebuh raya), misi pelumba kelahiran Perlis tahun ini ialah mencari emas individu pertama buat dirinya.

Walaupun pernah memenangi emas bersama Fatehah Mustapha dalam acara pecut berpasukan pada temasya 2011 di Palembang, meraih pingat itu untuk diri sendiri jauh bezanya dan menjadi impian besar yang mahu digapai Jupha, 24, di laman sendiri.

“Walaupun tekanan untuk saya merealisasikan impian itu agak tinggi, saya perlu memenuhinya kali ini kerana percaya peluang lebih cerah dalam acara omnium (trek) berbanding dua acara basikal lebuh raya iaitu kriterium dan lepas beramai-ramai.

“Memang tugas itu berat memandangkan terpaksa berkayuh dalam tiga acara. Namun saya akan cuba sebaik mungkin bergantung kepada sejauh mana mampu memulihkan kecergasan daripada satu acara ke acara berikut yang akan saya sertai,” katanya ketika ditemui di Velodrom Nasional di sini.

Dia yang baharu kembali berkayuh sejak tiga bulan lalu selepas menamatkan latihan polis pada Mei lalu, mengakui latihan di Melbourne kira-kira dua bulan banyak meningkatkan prestasinya kerana kerap menyertai pertandingan di sana.

“Atas kertas, pelumba Indonesia dan Thailand merupakan pencabar terkuat saya. Tetapi berdasarkan prestasi semasa, jurulatih meletakkan harapan tinggi pada saya memenangi emas dalam acara omnium,” jelasnya.