Raja bukit JM 2015 itu, yang meraih podium pertama selepas menamatkan perlumbaan dari Shah Alam ke Hutan Melintang di sini dengan catatan masa 3 jam 52 minit 46 saat berkata, dia bagaimanapun tidak menyangka perkara sebegini boleh terjadi ke atas dirinya.

“Tadi masa 18 kilometer terakhir tayar basikal saya pancit. Kemudian saya berhenti untuk menukar tayar. Selepas siap, saya ada mengekori rapat belakang kenderaan teknikal pasukan saya lebih kurang tiga minit.

“Biasanya perkara tersebut tiada masalah. Tapi benda dah jadi, tidak mengapa, saya anggap ia bukan rezeki hari ini. Saya akan memperbaikinya dalam pe­ringkat akan datang.

“Bagaimanapun saya masih boleh berbangga sebab dapat menang jersi hijau (raja pecut). Saya akan cuba pertahankannya pada peringkat seterusnya,” jelas Nur Amirul yang dikenakan penalti tambahan 20 saat bagi catatan masa keseluruhan termasuk denda RM218.

Atas sebabitu, pelumba KFC Cycling Team (KFC), Abdul Gani dari Indonesia yang memanatkan saingan di tempat kedua dalam perlumbaan sejauh 161.9km itu, dinobat pemenang jersi kuning dengan ca­tatan masa terpantas keseluruhan 3:52.40s, selain memenangi jersi polka-dot (raja bukit).

“Saya memang gembira dapat sarung jersi kuning. Pada mulanya saya bingung bagaimana boleh dapat jersi ini sedangkan saya tamatkan perlumbaan di tempat kedua. Namun setelah dijelaskan oleh pengurus, saya faham,” kata Abdul.

Sementara itu, jersi merah (pelumba terbaik Malaysia) dimena­ngi Zawawi Azman dari Team Sapura Cycling (TSC), manakala jersi kelabu (pelumba muda terbaik) milik pasukan Australia, Oliver’s Real Food Racing (OLI) menerusi Ryan Thomas.

Peringkat kedua esok akan bermula dari Lumut ke Kuala Kurau melibatkan jarak sejauh 145.3km dan hanya menyajikan zon pecutan iaitu di Pantai Remis, Trong dan Bagan Serai.