Jelas pelumba kelahiran Perlis itu, meskipun sedar peluang untuk meraih pingat agak tipis namun dia tidak patah semangat berdasarkan pemerhatian terhadap pencabarnya sewaktu bersaing dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2018 di Nilai, Februari lalu.

“Bagi saya pelumba dari Jepun, Korea Selatan dan China merupakan pesaing terhebat dalam acara saya dalam Sukan Asia nanti.

“Meskipun saya tahu cabaran agak sukar, tetapi baru-baru ini dalam ACC, saya sudah lihat persembahan mereka.

“Nampak macam boleh tewaskan mereka. Saya perlu yakin agar dapat memberikan tentangan sengit kepada mereka,” katanya selepas menghadiri majlis minum petang bersama atlet-atlet lumba basikal negara ke Sukan Asia 2018, di sini hari ini.

Pelumba Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu pernah melakar sejarah peribadi apabila meraih emas pertama dalam kariernya di pentas Asia selepas mengungguli acara perlumbaan mata wanita elit di ACC tempoh hari.

Dalam masa sama, Ju Pha mengakui dia berasa agak sunyi setelah ketiadaan pemenang perak dalam acara keirin Sukan Asia 2014 Incheon, Fatehah Mustapha dalam temasya kali ini.

“Rasa macam skuad berbasikal kita kali ini sangat kecil sebab ketiadaan Fatehah,” katanya.