Selain berjaya menarik penyer­taan lebih 1,300 peserta dari dalam dan luar negara, penganjuran JMFR turut menaikkan kedudukan Manjung dan Lumut dalam industri ekopelancongan negara.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, daerah Manjung dan Lumut sememangnya dikenali sebagai destinasi percutian berasaskan sukan dan alam semula jadi.

Penganjuran JMFR membantu mempromosi kedua-dua daerah tersebut dalam sukan ber­kenaan.

Beliau berkata, bukan sahaja dalam sukan berbasikal, pe­ngan­juran aktiviti se­perti JMFR yang turut menarik penyertaan peserta antarabangsa, sudah tentu me­ran­cakkan lagi sektor pelancongan se­tempat seterusnya mengembangkan industri ber­kenaan.

“Kedatangan ramai pelancong ke daerah ini akan turut membantu mengembangkan sektor-sektor ber­­kaitan seperti perhotelan dan inap desa. Ini secara tidak langsung meningkatkan ekonomi penduduk tempatan dan Perak amnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan peserta JMFR di Taman Awam Teluk Batik di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab. Rahman; Naib Presi­den (Penjanaan) TNB, Datuk Zainudin Ibrahim dan Pengarah Urusan TNB Janamanjung, Datuk Shamsul Ahmad.

Menurut Zambry, acara tersebut bukannya pertama kali dianjurkan, namun kejayaan menarik penyertaan lebih ramai peserta termasuk dari luar negara, mele­takkan JMFR pada kedudukan­nya tersendiri dalam pentas pe­lancongan sukan.

Jelasnya, TNB sememangnya dikenali ramai melalui penganjuran pelbagai aktiviti berteraskan kemasyarakatan sebagai Tanggungjawab Korporat (CR) sya­rikat itu.

“Selain menjadi medan untuk memupuk semangat kesukanan, JMFR juga merupakan platform kepada para peserta dalam dan luar negara mengeratkan hubu­ngan silaturahim sesama mereka,” katanya.

Sementara itu, Roslan berkata, program kayuhan edisi ke-11 kali ini berbeza berbanding penganjuran sebelum ini.

“Pada kali ini kita bawakan seramai 14 atlet paralimpik negara, 10 Orang Kurang Upaya dari segi penglihatan dan empat pemain hoki kebangsaan untuk bersama-sama memeriahkan aktiviti ini.

“Bilangan peserta pada kali ini bertambah berbanding tahun lalu. Kami mensasarkan semakin ramai semakin ramai yang akan menyertai JMFR ini pada masa hadapan,” katanya.

Menurut Roslan, para peserta mengayuh sejauh 147 kilometer bermula di kawasan perkelahan terkenal Teluk Batik.

Para pelumba kemudiannya me­lalui Ste­sen Janakuasa Sul­tan Azlan Shah, kawasan sekitar Seri Manjung, Pasir Salak, Ayer Tawar dan berakhir di Teluk Batik.

Di sepanjang laluan, seba­nyak lima water station disediakan untuk para peserta.

Jelas Roslan, pemilihan Teluk Batik untuk lokasi program kayuhan itu adalah bagi mempromosikan kawasan ber­kenaan sebagai tarikan pelancong di daerah Manjung.

“Seperti mana yang dapat disaksikan, program ini telah berlangsung dalam suasana meriah dan semangat kesukanan. Saya dapat rasakan semangat para peserta yang mahu menamatkan kayuhan ini walaupun jauh dan mencabar,” katanya.

Katanya, bersempena JMFR, kira-kira 60 gerai pameran disediakan untuk para pengunjung antaranya gerai promosi Aplikasi MyTNB, Jelajah Pasukan Hoki TNB Thunderbolt dan beberapa gerai jualan produk tempatan termasuk kraftangan serta makanan laut.