Azizulhasni membuat pendedahan itu ketika ditanya seorang peminat basikal, adakah dia tidak bimbang akan kehilangan khidmat Beasley termasuk kepada negara asal jurulatih tersebut iaitu Australia ketika Majlis Bertemu Duta CIMB di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Pelumba berusia 29 tahun itu bagaimanapun dengan tenang menjawab, Australia tidak mungkin berbuat demikian kerana Beasley seorang yang cukup profesional sebaliknya apa yang membimbangkannya adalah Jepun.

“Jepun berterusan cuba memujuk Beasley meninggalkan Malaysia dan banyak kali mengadakan pertemuan dengannya. Tetapi Beasley ini nampak sahaja ‘orang putih’ tetapi jiwanya sudah bertukar jadi Melayu dah,” kata Azizulhasni dengan nada bergurau menceritakan komitmen jurulatih itu kepada Malaysia.

Azizulhasni juga tidak menafikan kejayaannya muncul juara dunia acara keirin minggu lalu telah membuka mata banyak pihak di seluruh dunia mengenai kehebatan Beasley dalam membentuknya menjadi pelumba yang hebat.

“Boleh saya katakan Beasley kini adalah jurulatih terbaik di dunia. Selain seorang yang tegas dan profesional, dia juga seorang lelaki budiman kerana banyak mengajar saya bagaimana untuk membawa diri sebelum dan selepas menjadi pelumba basikal terbaik di dunia,” tegas Azizulhasni yang mula dibimbing Beasley pada tahun 2007.

Menjawab satu soalan daripada seorang lagi peminat, Azizulhasni mengakui dia sudah pun mempunyai satu pasukan pengurusan yang sedang merancang untuk mewujudkan sebuah akademi pelumba basikal pada masa akan datang.

“Saya memang ada perancangan ke arah itu. Tetapi buat masa ini berilah saya sedikit masa lagi untuk mewujudkan sebuah akademi. Beri saya peluang menang di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dulu. Selepas itu baharulah saya boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha itu,” jelasnya.