Mewakili pasukan Sky, Froome merampas kedudukan itu daripada rakan sepasukannya Geraint Thomas walaupun sekadar menamatkan peringkat kelima di tempat ketiga, di belakang pelumba Itali, Fabio Aru dari pasukan Astana yang muncul juara dan pelumba di tempat kedua dari Ireland, Dan Martin dari pasukan Quick Step Floors.

Aru, yang melakukan henjutan pemisah pada 2.3 kilometer terakhir ketika mendaki laluan di pergunungan La Planche des Belles Filles, gagal dikejar oleh Froome untuk menamatkan perlumbaan peringkat kelima dengan jarak 20 saat di depan pendahulu keseluruhan itu.

Dengan Thomas lebih jauh tertinggal di belakang membolehkan Froome, 32, menyarung jersi kuning dengan kelebihan 12 saat di depan rakan sepasukannya itu.

Hasil kemenangan pada peringkat kelima itu pula melonjakkan Aru, 27, ke kedudukan ketiga keseluruhan dengan ketinggalan 14 saat di belakang Froome dan dua saat di belakang Thomas selain merampas jersi polka dot selaku pendahulu gelaran Raja Bukit.

Thomas yang menguasai jersi kuning sejak menjuarai peringkat pertama acara ujian masa individu terpaksa akur dan merelakan jersi kuning diserahkan kepada Froome malah telah memberi bayangan awal sebelum peringkat kelima bermula apabila berkata, keutamaannya adalah membantu ketua pasukannya itu. – AGENSI