Ketua Pegawai Eksekutif JM 2017, Noraidiazhar Sulaiman berkata, dengan adanya bantuan daripada KBS, ia sekali gus dapat mengurangkan beban pe­nganjur memandangkan kos pengendalian perlumbaan tersebut mencecah RM3.6 juta.

“Jika JM mendapat bantuan daripada KBS, saya rasa perlumbaan berbasikal ini menjadi le­bih menarik kerana untuk menganjurkan JM akan melibatkan kos sekitar RM3.6 juta. Maka, dengan adanya bantuan daripada KBS, ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban penganjur.

“Ini kerana JM adalah platform terbaik bagi pelumba muda mempamerkan kemampuan selain dapat mencungkil bakat baharu.

“Terdapat banyak pasukan tempatan dan mereka tidak dapat sertai kejohanan luar ekoran kekangan kewangan.

“Jadi bagi mereka, JM adalah medium terbaik untuk mereka mempamerkan bakat terpendam,” katanya dalam sidang akhbar sempena penganjuran Kuala Lumpur Fun & Ride @ Titiwang­sa, di ibu negara hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Titan Empire Event Management (TEEM), Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman dan Penasihat TEEM, Datuk Dr Laurence Ng.

Dalam masa sama, Noraidiazhar menyarankan agar Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengumumkan lebih awal mengenai syarikat yang terpilih untuk menganjurkan JM 2018 dan seterusnya.

“Kita akui JM tidak mendapat bantuan dan dana daripada mana-mana pihak. Jadi untuk melancarkan perjalanan perlumbaan ini, ia memerlukan masa sehingga enam bulan untuk mencari dana melalui tajaan daripada syarikat-syarikat swasta.

“Bagi saya jika PKBM mengumumkan lebih awal saya rasa syarikat yang terpilih itu tidak berdepan masalah kewangan kerana mereka mempunyai tempoh yang panjang dan sesuai untuk mencari penaja,” katanya.