Azizulhasni Awang, Mohammad Shah Firdaus Sahrom dan Fatehah Mustapa diletakkan harapan untuk meraih pingat emas dalam kejohanan lima hari di gelanggang sendiri itu namun gagal memenuhi sasaran, tetapi sebaliknya Jupha pula yang menyerlah.

Ini diakui jurulatih basikal trek negara John Beasley sendiri. Cuma yang melegakan warga Australia itu bahawa dia masih percaya prestasi berkarat ketiga-tiga pelumba yang berpengkalan di Melbourne itu masih boleh diasah dan ditajamkan semula.

“Prestasi mereka agak berkarat di sini. Jadi masih banyak yang perlu dilakukan terutama Azizulhasni dan Shah Firdaus yang akan menyertai kejohanan dunia di Apeldoorn, Belanda hujung bulan ini.

“Ini menunjukkan kami berada di landasan yang betul kerana semua tahu perancangan adalah berkaitan dengan Sukan Olimpik 2020 di Tokyo. Namun untuk Sukan Asia 2018 Ogos ini, kami mahu membuktikan sesuatu. Di situ nanti anda akan dapat menyaksikan aksi terbaik kami musim ini,” janji Beasley.

Ternyata pencapaian dalam kejohanan dunia dari 28 Februari hingga 4 Mac ini tidak langsung diletakkan harapan besar oleh Beasley terutama untuk melihat Azizulhasni mempertahankan gelaran juara dunia keirin yang dimenangi di Hong Kong tahun lalu.

Jika melihat keadaan fizikal Azizulhasni dan Fatehah sepanjang ACC kali ini, mereka agak berisi sekali gus membuktikan edisi ke-38 kejohanan Asia itu bukanlah tumpuan sebenar sebaliknya sekadar memanaskan badan dan melakukan persiapan sahaja.