Muncul pelumba pertama yang menyumbang emas menerusi basikal trek yang membuka gelanggang hari ini, pelumba kelahiran Kemaman, Terengganu berusia 22 tahun itu tidak menyangka latihan keras termasuk di Melbourne, Australia membuahkan hasil yang cepat di temasya kali ini.

“Saya anggap ini satu penghormatan pada saya yang menjadi penyumbang emas pertama untuk basikal trek walaupun tidak diletakkan harapan meraihnya.

“Ini kerana ia adalah penampilan sulung di Sukan SEA berbanding pelumba Thailand yang lebih berpengalaman. Memang Thailand beri saingan sengit tetapi saya dapat mengatasinya,” ujar anggota tentera ini.
Dalam saingan sengit itu, Irwandie berjaya menewaskan dua pelumba Thailand, Thurakit Boonratanathanakorn yang menang perak dan Thanawut Sanikwathi yang menang gangsa.

Berlaku sedikit kekecohan apabila pada mulanya nama seorang lagi pelumba negara, Muhammad Afiq Huznie Othman dipaparkan sebagai pemenang gangsa sebelum dibantah Thailand kerana tidak berpuas hati.

Selepas melihat semula rakaman perlumbaan yang disertai 11 pelumba melibatkan jarak 15 kilometer dan 60 pusingan, komisar pertandingan akhirnya mengubah keputusan awal itu selepas mendapati Thanawut sudah pun memintas Afiq satu lap.

“Saya tidak kecewa kerana memang pelumba Thailand sudah memintas saya lebih awal sebelum perlumbaan ditamatkan walaupun nampak saya tiba di garisan penamat di tempat ketiga,” katanya.

Kali terakhir pelumba negara menang emas acara scratch ini ialah menerusi Mohd. Harrif Saleh pada temasya 2011 di Indonesia.