ABU SAMAH

Tindakan tidak bermoral yang dibuat Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia 2018 (INAGOC) itu ternyata bertentangan dengan apa yang telah diluluskan Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) yang telah melantik Abu Samah sebelum ini.

Ini merupakan kali kedua, INAGOC membuat keputusan kontroversi membabitkan Malaysia dalam bulan ini. Beberapa hari lalu, INAGOC menggugurkan tiga acara basikal trek bertaraf Olimpik daripada Sukan Asia tahun depan iaitu pecut berpasukan, 200 meter pecut dan keirin di mana Malaysia mempunyai kekuatan tersendiri untuk menyapu banyak emas.

Abu Samah ketika mendedahkan namanya telah dicantas INAGOC menerusi satu kenyataan hari ini berkata, tempat beliau kini telah digantikan seorang komisar antarabangsa dari Thailand, Nuthapong Lohitnavy.

“Ini sekali gus mengetepikan prosedur bahawa semua pelantikan TD mesti dibawa dan diluluskan di peringkat mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif ACC terlebih dahulu. Saya difahamkan bahawa Nuthapong sudah pun tahu tentang pelantikan ini.

“Saya dimaklumkan bahawa beliau juga telah terima jemputan untuk menghadiri mesyuarat Delegasi Teknikal untuk semua acara di Jakarta, Indonesia pada 17 Ogos nanti, katanya dalam satu kenyataan.

Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Asean (ACA) menegaskan, pengguguran seseorang TD bagi acara berbasikal sepatutnya perlu lebih dahulu mendapat kelulusan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif ACC.

“Dalam konteks ini, INAGOC telah buat keputusan untuk lantik dan gugurkan Delegasi Teknikal acara sukan berbasikal tanpa merujuk kepada Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif ACC terlebih dahulu.

“Saya difahamkan Setiausaha Agung ACC, Ongkar Singh dari India telah pun menulis surat kepada INAGOC bertanyakan tentang pelantikan Nuthapong Lohitnavy tanpa pengetahuan badan induk tersebut,” ujarnya lagi.

Beliau mendedahkan bahawa tindakan INAGOC mungkin ada kaitan dengan insiden Sukan Sea 2011 apabila Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea 2011 (INASOC) mahu menggugurkan semua acara penting pada temasya tersebut.

“Saya muncul orang pertama yang membantah keras tindakan INASOC. Secara kebetulan saya adalah Delegasi Teknikal untuk acara berbasikal pada Sukan Sea 2011. Saya sendiri turun naik ke Jakarta untuk berbincang dengan INASOC, KONI (Komite Olahraga Nasional Indonesia) dan Ketua ISSI (Ikatan Sepeda Seluruh Indonesia), Fenny Tandjung.

“Akhirnya mereka akur dan senaraikan semua acara penting seperti pecut, keirin dan 500 meter ujian masa individu. Malaysia berjaya bawa pulang 7 pingat emas menerusi acara trek pada Sukan Sea 2011,” tambah Abu Samah yang mengaku belum menerima surat mengenai pengguguran namanya sebagai DT daripada INAGOC.