Ini kerana tarikh yang diminta oleh skuad trek negara itu terlalu hampir dengan jadual latihan rasmi yang ditetapkan oleh penganjur acara berbasikal dalam temasya dwitahunan tersebut.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd. Wahab menjelaskan, pasukan trek Indonesia berbuat demikian bagi menjimatkan masa dan kewangan, sekali gus membolehkan mereka terus tinggal di perkampungan sukan di Bandar Baru Nilai.

“Saya tahu kenapa Indonesia buat begini. Mereka sengaja pilih tarikh berdekatan dengan Sukan SEA 2017 kerana mahu menjimatkan masa dan wang,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Dua minggu lalu pasukan trek Indonesia telah mengemukakan permohonan rasmi kepada PKBM untuk menguji trek baharu Velodrom Nasional Malaysia di Nilai dan persatuan sukan itu pada dasarnya menyokong permohonan Indonesia dan telah memanjangkan surat tersebut kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) menjelaskan bahawa Singapura muncul negara terbaru yang telah mengemukakan permohonan rasmi untuk berlatih secara rasmi di velodrom tersebut.