Lebih manis, kejayaan yang dilakar Mohd. Hariff itu turut dikongsi bersama abangnya, Mohd. Zamri yang berjaya mendapat pingat gangsa dalam acara yang diadakan di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Pingat perak pula menjadi milik pelumba Thailand, Thanawut Sanikwathi.

Menurut Mohd. Hariff, tanpa sokongan rakan sepasukan, misi untuk mempertahankan emas yang dimenanginya dalam temasya Sukan SEA dua tahun lalu di Singapura mungkin sukar.

“Saya sebenarnya tidak jangka sembuh dengan cepat dan mampu memenangi perlumbaan ini kerana lebih kurang tiga minggu sebelum Sukan SEA, saya mengalami retak pinggang. Terima kasih kepada Institut Sukan Negara (ISN) yang banyak membantu dalam sesi pemulihan.

“Pada mulanya ISN tidak mahu melepaskan saya berlumba tetapi dengan semangat yang tinggi untuk menghadiahkan sesuatu kepada negara dan pada masa sama mahu mempertahankan pingat emas, akhirnya pasukan negara berjaya merealisasikan hasrat tersebut,” katanya.

Menurut Mohd. Hariff, kejayaan yang dilakarnya itu juga bakal menjadi motivasi dan dorongan untuknya memburu pingat emas kedua dalam acara lebuh raya.

Mengulas mengenai kejayaan abangnya yang turut berjaya menyumbang pingat dalam acara tersebut, katanya, ia merupakan kali pertama mereka berdua berjaya menjejaki podium bersama-sama dalam temasya tersebut dan pastinya menjadi hadiah serta kenangan paling bernilai.

Empat lagi pelumba Malaysia yang turut menyertai acara tersebut ialah Anuar Manan, Mohd. Shahrul Mar Amin, Muhamad Adiq Husainie dan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki.

Dalam acara kriterium wanita, Jupha Somnet memastikan pingat perak buat pasukan negara dan hanya sedikit ketinggalan di belakang Nguyen Thi That dari Vietnam yang meraih emas.

“Ini menjadi pembakar semangat kepada saya untuk menghadiahkan pingat emas kepada negara dalam perlumbaan berikutnya pada 23 dan 27 Julai ini,” kata Jupha.