Mat Sport
 

Kalau nak ikutkan, temasya dwitahunan itu bukanlah level Azizul pun sebab dia dah dapat gelaran raja keirin selepas menang Kejohanan Dunia Trek di Hong Kong 13 April lalu.

Azizul yang ter­kenal de­ngan jolokan The Pocket Rocketman juga telah menjelaskan bahawa dia bukan nak berlagak beraksi dalam Sukan SEA, tetapi mahu memberi ruang kepada orang senegaranya menyaksikan sendiri bagaimana dia bertarung dalam acara yang te­lah menjulang namanya.

Yalah, kali terakhir pelumba berusia 29 tahun itu beraksi dalam Sukan SEA adalah pada 2007 di Korat, Thailand. Jadi sudah tentu Azizul mahu melepaskan ‘gian’ dalam temasya tersebut, lagi-lagi di hadapan penyokong sendiri.

Tetapi secara peribadi, Mat berharap Azizul mempertimbangkan kemungkinan bersaing dalam lebih daripada satu acara. Ini kerana Azizul ada aura tersendiri untuk tarik peminat datang menyaksikan perlumbaan di gelanggang baharu iaitu Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan, yang juga venue acara trek berbasikal dalam Sukan SEA nanti.

Jadi, kalau dia menyertai lebih satu acara, mungkin peminat rasa puas dan berbaloi untuk datang dan te­ngok raja keirin dunia itu bersaing. Mana tahu, ada yang awalnya saja-saja hadir untuk te­ngok, tiba-tiba membangkitkan sema­ngatnya untuk berkecimpung dalam arena berbasikal. Siapa tahu?

Kalau dia menyertai satu acara sahaja, kasihan pula kepada penonton sebab acara keirin ini kita tahu berlangsung dengan sangat pantas, dalam tempoh bawah lima minit untuk satu-satu peringkat.

Ada 13 pingat emas ditawarkan (termasuk kategori wanita) dalam disiplin trek itu nanti. Azizul boleh pilih acara lain lagi contohnya ujian masa, pecut berpasukan, kejar mengejar individu atau berpasukan dan banyak lagi.

Kalau Azizul turut me­nyertai acara lain selain keirin, Mat lihat peluang Malaysia untuk menang banyak emas boleh dicapai.

Apa-apa pun, ini adalah cadangan Mat sahaja, sebab yang boleh menentukannya adalah tuan punya badan atau jurulatihnya, John Beasley. Tapi Mat harap MSN dan PKBM pandai-pandailan pujuk bintang dunia itu.