Walaupun sekadar menamatkan perlumbaan peringkat kelapan dan terakhir dari Setiawangsa ke Putrajaya sejauh 121 kilometer (km) di tempat keempat, kedudukan itu sudah cukup untuk pelumba berusia 22 tahun itu meraih gelaran sulung dalam karier profesionalnya.

Dengan menguasai jersi ku­ning selaku pendahulu keseluruhan sejak peringkat kedua lagi, Gibbons dilihat sukar digugat pencabar-pencabar lain yang cuba memintasnya menerusi kayuhan yang agresif.

Dengan mengumpul jumlah masa keseluruhan 29 jam, empat minit dan 57saat selepas me­ngayuh sejauh 1,225km, Gibbons meninggalkan pelumba Isowhey Sports Swisswellness, Cameron Bayly di tempat kedua sejauh 33 saat dan Alberto Cecchin dari pasukan Wilier Triestina ketiga, 35 saat di belakang.

“Saya tidak pernah terfikir untuk bergelar juara di sini memandangkan ini merupakan penampilan pertama saya dalam LTdL dan jelajah di luar negara.

“Ini seperti impian menjadi kenyataan. Tetapi tekanan untuk mempertahankan jersi kuning di sini cukup tinggi dan banyak mengajar saya untuk meraih lebih banyak kejuaraan selepas ini,” katanya selepas perlumbaan.

Mengenai kejayaan meraih gelaran raja pecut, Gibbons berkata dia tidak menyangka dapat meng­ungguli tiga zon pecutan hari ini sekali gus membolehkannya merampas jersi biru dari tangan pelumba Wilier Triestina, Jakub Mareczko.

Bagaimanapun kejayaan berganda Gibbons itu gagal membantu pasukannya Dimension Data untuk bergelar juara berpasukan keseluruhan yang menjadi milik Isowhey Sports Swisswellness dari Australia.

Sementara itu, pelumba Infinite AIS, John Kronborg Ebsen dari Denmark muncul sebagai raja bukit edisi kali ini selepas muncul pemegang jersi polka dot itu sejak peringkat kedua perlumbaan.

Gelaran pelumba terbaik Asia pula menjadi milik pelumba Nippo-Vini Fantini, Hideto Nakane dari Jepun yang mencatat masa keseluruhan 26’27:13s.