Sebaliknya juara dunia yang terbaharu kini menjadi milik pelumba Colombia, Fabian Hernando Puertas Zapata yang muncul juara menewaskan pelumba Jepun, Tomoyuki Kawabata di tempat kedua dan Maximillian Levy dari Jerman, ketiga dalam perlumbaan akhir.

Serentak dengan kegagalan itu, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu ini juga turut kehilangan jersi pelangi yang sering dipakainya sejak muncul juara dunia di Hong Kong tahun lalu.

Turun sebagai pelumba keirin pada ranking keenam dunia tahun ini, status sebagai juara bertahan ternyata membuatkan pelumba berusia 29 tahun ini menjadi sasaran pelumba lain untuk ditewaskan pada edisi 2018.

Malah tekanan begitu cukup dirasai pelumba yang diberi nama jolokan The Pocketrocketman seawal pusingan pertama lagi apabila dia sering diasak agar tidak terlalu bebas atau mendapat ruang secukupnya untuk memecut.

Ini menyaksikan Azizulhasni yang turun pada saringan terakhir dan keenam hanya mampu menduduki tempat ketiga daripada empat pelumba yang bersaing bagi merebut tiket automatik ke pusingan kedua.

Hanya juara setiap saringan layak ke pusingan kedua manakala pelumba lain diberi peluang kedua untuk layak tetapi perlu beraksi dalam saringan kumpulan kalah yang dipanggil repechage.

Azizulhasni yang turun selepas itu sekali lagi hampa apabila tewas sedikit sahaja di tangan pelumba keirin ranking No. 1 dunia dari Ukraine, Andrii Vynokurov untuk menduduki tempat kedua.

Hanya juara dari saringan repechage ini sahaja yang layak mara ke pusingan kedua sekaligus menyaksikan Azizulhasni terpaksa menamatkan cabaran lebih awal.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara yang layak beraksi secara merit di kejohanan dunia kali ini iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut menerima nasib yang serupa dengan Azizulhasni.

Selepas menduduki tempat kedua saringan kelima di pusingan pertama, Shah Firdaus terpaksa beraksi dalam repechage sebelum hanya mampu menduduki tempat ketiga daripada empat pelumba dalam saringan kelima itu.

Kedua-dua pelumba dijadual akan turun beraksi pula dalam acara 200 meter pecut selepas ini. Malaysia tidak mempunyai wakil pelumba wanita kali ini selepas Fatehah Mustapa berada pada ranking bawah.