Walaupun hanya menduduki tempat ketiga, ia sudah cukup buat Froome, 32, yang mewakili pasukan Sky untuk melebarkan jurang perbezaan masa dengan pencabar utamanya seperti Romain Bordat dan Rigoberto Uran dalam kedudukan keseluruhan.

Dengan pelumba Perancis, Bordat hanya mampu menduduki tempat ke-52, ia menyaksikan tempat kedua keseluruhan dirampas Uran yang menduduki tempat sedikit lebih baik daripadanya dalam acara ujian masa tersebut.

Kini perbezaan masa antara Froome dan Uran adalah 54 saat dalam kedudukan keseluruhan berbanding bawah 30 saat sebelum ini sekali gus mengekalkannya sebagai pendahulu keseluruhan dan cukup cerah untuk muncul juara buat kali keempat sekiranya tiada perkara luar biasa berlaku peringkat terakhir iaitu yang ke-21 esok.

Sementara itu, acara ujian hari ini dimenangi pelumba Poland, Maciej Bodnar diikuti rakan sepasukan Froome di Sky, Michal Kwiatkowski dua saat di belakang diikuti Froome enam saat di belakang.

Jika segala-galanya berjalan lancar, Froome bakal meraih gelaran juara Jelajah Perancis yang berakhir di Paris esok buat kali keempat dalam tempoh lima tahun - kurang satu gelaran daripada yang pernah dilakukan Miguel Indurain dari Sepanyol, Eddy Merckx dafi Belgium serta Bernard Hinault dan Jacques Anquetil dari Perancis. – Reuters