Muhammad Shah Firdaus Shahrom (kiri) dan pemenang 500m ujian masa wanita Farina Shawati Mohd. Adnan sama-sama meraikan kejayaan mereka dalam acara berbasikal Sukma 2016 di Kuching semalam.

Firdaus, 21, mencatat masa satu minit 02.981 saat (s) untuk memastikan dirinya tidak digugat oleh pelumba dari negeri lain.

Pingat perak pula menjadi milik seorang lagi pelumba kebangsaan Muhammad Fadhil Mohd. Zonis yang mewakili Selangor (01:03.267s), sementara gangsa diraih peserta Terengganu, Asyraf Naim Ying (01:05.307s).

Firdaus ketika ditemui pemberita berkata, dia bersyukur kerana berjaya menyumbang emas kedua untuk Johor setelah semalam menjuarai acara 200 meter (m) pecut lelaki akhir.

“Apa lagi yang boleh saya katakan, segala yang saya sasarkan telahpun tercapai, alhamdulillah.

“Ini merupakan Sukma terakhir saya. Saya sudah berjanji untuk memberikan yang terbaik. Terima kasih kepada keluarga dan jurulatih yang banyak memberi soko­ngan serta bantuan,” katanya.

Firdaus berjaya mengetepikan cabaran daripada pemenang pi­ngat emas Sukma Perlis dua tahun lalu Muhammad Fadhil.

Menurutnya, acara hari ini bukanlah kegemarannya yang sebelum ini dia hanya memberi tum­puan kepada acara pecut 200m.

Mengulas mengenai peranca­ngannya selepas Sukma, Firdaus memberitahu buat masa ini dia akan menjalani latihan di ibu negara sebelum kembali ke pangkalan latihan skuad kebangsaan di Melbourne, Australia selepas Sukan Olimpik berakhir.