Selepas mempamerkan persembahan menghampakan apabila tersingkir seawal pusingan pertama dalam acara 200 meter pecut wanita, Selasa lalu, pelumba kelahiran Terengganu ini menunjukkan sedikit kesungguhan apabila layak ke final acara keirin hari ini.

Begitupun, ia belum cukup untuk menebus reputasi yang tercalar apabila Fatehah hanya mampu menduduki tempat terakhir daripada enam pelumba yang bersaing untuk merebut pingat.

Acara itu dimenangi pelumba pilihan dari di Hong Kong, Lee Wai Sze yang menang emas, diikuti pelumba Korea Selatan, Lee Hyejin yang menang perak dan pelumba China, Zhong Tianshi yang menang gangsa.

Ketika ditemui selepas perlumbaan, Fatehah berkata, dia tidak berada pada prestasi terbaik selepas berehat panjang sebaik sahaja berakhir Sukan SEA, Ogos tahun lalu.

“Selepas kecewa dalam 200 meter pecut, saya memang teringin hendak menghadiahkan pingat untuk Malaysia di depan penyokong sendiri menerusi acara keirin hari ini tetapi ia tidak kesampaian,” katanya sambil menitiskan air mata.

Sebagai rekod, Fatehah juga tidak layak untuk beraksi pada Kejohanan Dunia di Apeldoorn, Belanda dari 28 Februari hingga 4 Mac ini kerana gagal memungut mata secukupnya. Dia sebelum meraih gangsa dalam 500m ujian masa.

Hanya Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom sahaja yang layak secara merit

Dengan kegagalan Fatehah, skuad negara keseluruhannya gagal meraih sebarang pingat pada hari terakhir kejohanan selepas Jupha Som Net yang turun dalam acara scratch wanita juga tercicir jauh di belakang.