Pemilihan atlet kelahiran Terengganu itu memenangi anugerah bagi tahun 2017 tersebut memecah dominasi atlet terjun, renang, skuasy, boling, badminton, menembak dan olahraga yang banyak menguasai kategori wanita sebelum ini.

Berusia 28 tahun itu dipilih berdasarkan kejayaannya muncul pelumba basikal paling banyak memenangi emas dalam satu temasya iaitu ketika Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) pada Ogos lalu.

Dalam temasya KL2017 itu, Fatehah menyumbang emas dalam acara keirin, 200 meter pecut, pecut berpasukan dan 500m ujian masa. Dia juga berjaya memecahkan dua rekod kebangsaan iaitu dalam acara 500m ujian masa dan 200m pecut.

Sementara itu Anugerah Olimpian Lelaki 2017 dimenangi perenang, Welson Sim sekali gus meneruskan penguasaan sukan renang yang pernah memenanginya menerusi Lim Keng Liat (1998), Elvin Chia (1999), Daniel Bego (2007, 2009).

Pemilihan atlet kelahiran Sarawak berusia 20 tahun itu berdasarkan kejayaannya memenangi emas dan memecahkan rekod Sukan SEA dalam acara 200m gaya bebas dan 400m gaya bebas dalam KL2017.

Bagi Anugerah Olimpian 2016 yang diadakan serentak malam ini, Datuk Lee Chong Wei dipilih memenanginya buat kali ketiga bagi kategori lelaki. Sebelum ini pemain perseorangan utama badminton negara itu pernah memenanginya pada 2008 dan 2012.

Anugerah Olimpian Wanita 2016 pula dimenangi gandingan penerjun Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong. - UTUSAN ONLINE