NILAI 29 Ogos – Selain meraih emas acara 500 meter ujian masa wanita hari ini, Fatehah Mustapa mengaku lega kerana berjaya memadam rekod lama kebangsaan yang berusia tiga tahun miliknya.

Sambil bersyukur kerana sudah dapat mengembalikan prestasi lama selepas mengalami kemerosotan agak lama, anak jati kelahiran Terengganu itu percaya dia mampu untuk mencatat masa lebih pantas selepas ini.

“Catatan masa yang saya buat ini agak pantas juga kerana saya merasakan sudah kembali seperti kepada prestasi dulu. Sudah tentu saya gembira mencipta rekod baharu kebangsaan.

“Bagaimanapun saya berharap dapat beraksi lebih baik pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan,” kata pelumba berusia 28 tahun itu yang masih belum mahu memikirkan soal bersara.

Dalam acara 500 meter ujian masa hari ini, Fatehah mencatat masa 34.542 saat untuk memadamkan rekod lama kebangsaan miliknya sendiri iaitu 34.667 saat yang dicatatnya di Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland.

Beliau menewaskan dua pelumba Indonesia, Crismonita Dwi Putri (36.165s) yang menang perak manakala Santia Tri Kusuma (36.345s) menang gangsa.

“Saya gembira dapat cipta rekod kebangsaan dan menjadi pelumba wanita pertama negara yang meraih empat emas dalam satu temasya,” katanya.