Anugerah Olimpian Lelaki 2017 pula dimenangi perenang Welson Sim sekali gus meneruskan penguasaan sukan renang yang pernah memenanginya menerusi Lim Keng Liat (1998), Elvin Chia (1999), Daniel Bego (2007, 2009).

Bagi Anugerah Olimpian 2016 yang diadakan serentak malam ini, Datuk Lee Chong Wei dipilih memenanginya buat kali ketiga bagi kategori lelaki. Sebelum ini pemain perseorangan utama badminton negara itu pernah memenanginya pada 2008 dan 2012.

Anugerah Olimpian Wanita 2016 pula dimenangi gandingan penerjun Pandelela Rinong/Cheong Jun Hoong. Bagi Pandelela, ini merupakan kali kedua atlet terjun yang berasal dari Sarawak itu memenangi anugerah tersebut. Kali pertama ialah pada 2012 dengan memenanginya secara bersendirian.

Pemilihan pelumba kelahiran Terengganu, Fatehah sebagai penerima anugerah bagi tahun 2017 tersebut memecah dominasi atlet terjun, renang, skuasy, bo­ling, badminton, menembak dan olahraga yang banyak menguasai kategori wanita sebelum ini.

Berusia 28 tahun, Fatehah dipilih berdasarkan kejayaannya muncul pelumba basikal paling banyak memenangi emas dalam satu temasya iaitu ketika Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) pada Ogos lalu.

Dalam temasya KL2017 itu, Fatehah menyumbang emas dalam acara keirin, 200 meter pecut, pecut berpasukan dan 500 meter ujian masa. Dia juga berjaya memecahkan dua rekod kebangsaan iaitu dalam acara 500 meter ujian masa dan 200 meter pecut.

Fatehah bagaimanapun tidak hadir kerana berada di Australia.

Sementara itu, pemilihan atlet kelahiran Sarawak, Welson yang berusia 20 tahun adalah berdasarkan kejayaannya memenangi emas dan memecahkan rekod Sukan SEA dalam acara 200 meter gaya bebas dan 400 meter gaya bebas dalam KL2017.

Semua anugerah disampaikan oleh Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.