Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu yang sah menyertai tiga acara pada temasya kali ini sedar saingan sengit menantinya memandangkan beberapa pelumba terbaik dunia dari Australia, New Zealand dan Great Britain dijangka menguasai Velodrom Anna Meares di Queensland.

“Sasaran saya adalah memperbaharui rekod peribadi dalam acara 200m pecut, mara ke separuh akhir acara keirin selain berada dalam kelompok lima pelumba terbaik bersama Fatehah Mustapa dalam acara pecut berpasukan.

“Saya akan berusaha keras untuk cuba meraih pingat walaupun saya tahu saingan pada Sukan Komanwel agak sukar,” katanya baru-baru ini.

Anak jati Selangor itu menjelaskan jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley bagaimanapun tidak meletakkan harapan tinggi bagi memastikan setiap pelumba negara memberi persembahan terbaik terutamanya memperbaiki ca­tatan peribadi masing-masing pada saingan kali ini.

Juara keirin dunia 2017, Mohd Azizulhasni Awang bakal mengetuai cabaran 14 pelumba negara yang akan bersaing pada Sukan Komanwel 2018.

Rekod terbaik Malaysia dalam acara berbasikal trek adalah pada Sukan Komanwel 2010 di India yang menyaksikan bekas pelumba trek negara, Josiah Ng memenangi pingat emas acara keirin lelaki. – BERNAMA