Farina belum puas hati
Farina Shawati Mohd Adnan

Acara keirin wanita Sukan Komanwel Gold Coast didominasi pelumba tuan rumah, Stephanie Morton dan Kaarle McCulloch yang masing-masing meraih emas dan perak manakala pingat gangsa menjadi milik pelumba New Zealand, Natasha Hansen.

Beliau juga merasa terkilan apabila pelumba senior, Fatehah Mustapa yang pada awalnya menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan layak untuk penentuan pingat, turun di kedudukan tercorot oleh komisar perlumbaan ekoran adanya protes daripada pelumba Kanada yang mendakwa Fatehah menghimpit dan menghalang kayuhannya.

"Kalau tidak, saya dan Fatehah akan fight untuk medal buat Malaysia," katanya.

Bagi Farina Shawati, Fatehah adalah idola beliau dalam sukan berbasikal dan rakan sepasukan yang baik dan perlu dicontohi.

"Saya perlu berusaha dengan lebih kuat lagi untuk mencapai tahap seperti Fatehah. Namun, untuk mengambil alih tempat Fatehah bukan dalam masa terdekat ini.

"Saya masih perlu sertai banyak kejohanan antarabangsa dan layak secara merit untuk mewakili negara di temasya sukan yang lebih besar seperti Sukan Asia dan Sukan Olimpik," katanya.

Menyentuh mengenai Sukan Asia Jakarta-Palembang yang bermula Ogos depan, Farina Shawati meletak sasaran untuk memenangi pingat khususnya dalam acara pecut berpasukan, bergandingan dengan Fatehah.

"Untuk Sukan Asia pula, ia mempunyai cabaran yang berbeza. Saingan dalam acara keirin dan pecut akan datang daripada pelumba China, Korea dan Hong Kong. Sasaran peribadi saya adalah untuk meraih podium," katanya. - BERNAMA