Shukor Farhan Suliman

Ini kerana kaki sebelah kanannya yang kudung kerana terpaksa dipotong akibat kemalangan motosikal enam tahun lalu telah menjadikannya antara pelumba prospek emas yang perlu diberikan perhatian pada temasya kali ini.

Bagi Shukor Farhan Suliman, 21, keadaan dirinya yang kurang upaya bukan penghalang untuk terlibat dalam sukan berbasikal ini sebaliknya kekurangan itu sebenarnya telah memberi kehidupan baharu yang lebih bermakna sehingga mampu mewakili negara sampai ke kejohanan para dunia.

“Saya rasa kalau tidak kudung, saya tidak akan berpeluang mewakili negara dalam sukan berbasikal trek ini. Mungkin kehidupan saya berbeza daripada sekarang dan bukan menjadi atlet sukan.

“Tetapi alhamdulillah kemalangan itu telah menjadikan saya lebih kuat bukan hanya sekadar memakai kaki palsu tetapi untuk menjadi seorang pelumba para yang disegani satu hari nanti,” kata pelumba kelahiran Muar, Johor ketika ditemui pada sesi latihan di Velodrom Nasional di sini hari ini.

Farhan yang pada asalnya merupakan seorang pelajar tahfiz di Parit Jawa sebelum kemalangan itu sebenarnya tidak tahu menahu tentang basikal malah mengakui tidak berminat langsung dengan sukan tersebut.

Tetapi pertemuannya dengan seorang jurulatih ketika mahu menyaksikan perlawanan bola sepak membabitkan pasukan negerinya, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Bukit Jalil pada 2013 telah mengubah sisi hidupnya secara keseluruhan selepas itu.

“Dalam keadaan bertongkat dan memakai kaki palsu ketika itu, saya pada usia 17 tahun ditawarkan menyertai skuad basikal para dan tidak sangka jurulatih itu berjaya membentuk minat dan keadaan fizikal saya dengan baik.

“Hari ini saya sudah berjaya berada di tahap tinggi dalam sukan berbasikal para. Ini Sukan Para ASEAN pertama saya memandangkan baharu tahun ini acara berbasikal trek dapat dipertandingkan.

“Sudah tentu tidak ramai di negara ini pernah melihat saya berkayuh menggunakan sebelah kaki sahaja. Oleh itu saya mahu tunjukkan kepada rakyat negara ini apa yang saya mampu lakukan untuk negara,” tegasnya.

Farhan akan mengambil bahagian dalam dua acara iaitu 1 kilometer ujian masa dan 3,000 meter kejar mengejar lelaki kategori mixed C1-C3 yaang dijadual berlangsung pada 17 dan 18 September ini di Velodrom Nasional di sini.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Farhan di peringkat antarabangsa ialah menduduki tempat keempat acara scratch pada kejohanan para dunia di Appeldorn, Belanda pada 2015.

Dia juga pernah menduduki tempat kelima acara lebuh raya di Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan pada 2014 dan ketujuh dalam acara 3,000 meter kejar mengejar individu yang kini menjadi acara kegemarannya.