Selepas basikal trek menyapu bersih kesemua 12 pingat emas yang ditawarkan sebelum ini, basikal lebuh raya bagaimanapun tidak segarang itu apabila terpaksa melepaskan tiga daripada tujuh emas yang ditawarkan kesemuanya hari ini, termasuk satu kategori yang tidak disertai langsung pelumba negara.

Alvin Lim memulakan pesta emas skuad lebuh raya negara apabila menjuarai acara ujian masa individu kategori H1-H5 (basikal tiga roda, kayuh tangan) lelaki dengan menewaskan pelumba Singapura, Naren Sanker Lee yang menang perak manakala pelumba Indonesia, I Wayan Damai menang gangsa.

Dalam perlumbaan sejauh 12.3km itu, Alvin mencatat masa 26 minit, 47.573 saat, meninggalkan pencabar terdekatnya lebih dua minit untuk meraih emas pertamanya dalam temasya ini.

Kecemerlangan skuad lebuh raya diteruskan oleh Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin yang menjuarai acara ujian masa individu kategori C1, C2, C3 campuran (pelbagai kecacatan anggota).

Yusof yang mencatat masa 17:40.208s mengejutkan pelumba pilihan yang juga rakan sepasukan Muhammad Adi Raimie Amizazahan (21:15.366s) di tempat kedua manakala gangsa milik pelumba Brunei, Hamizan Samsudin (22.12.486s).

Mohd. Najib Turano kemudiannya meraih emas ketiga skuad lebuh raya negara apabila menjuarai acara ujian masa individu kategori C4 dengan catatan masa 17:56.306s.

Najib menewaskan pelumba Indonesia, Muhammad Fadli Imammuddin (18:16.930s) di tempat kedua dan pelumba Filipina, Taberna Godfrey Ezperanzate (18:47.586) ketiga.

Emas keempat dan terakhir hari ini disumbangkan pelumba yang mengalami kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) pada 7 September lalu iaitu Mohd. Khairul Hazwan Wahab bersama pelumba pilot baharunya Muhammad Rauf Nur Misbah dalam acara ujian masa individu lelaki kategori buta tandem (basikal dua tempat duduk).

Hazwan/Rauf mencatat masa 33:13.877s, menewaskan dua pelumba Singapura, Jensen Ng/Calvin Sim (34:34.832s) di tempat kedua dan Tee Wee Leong/Ang Kee Meng (35:10.352s) ketiga.

“Saya terpaksa menahan sakit dan sedikit fobia sepanjang perlumbaan kerana luka yang dialami akibat kemalangan belum sembuh sepenuhnya. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya.