Selepas Azizulhasni Awang mendapat penghormatan meraih emas ke-111 yang menjadi sasaran kontinjen negara untuk muncul juara keseluruhan pada temasya Sukan SEA Ke-29 baru-baru ini, basikal trek sekali lagi bakal mendapat perhatian istimewa apabila menjadi sukan terawal membuka tirai saingan di Velodrom Nasional di sini dengan tujuh emas ditawarkan untuk menjadi rebutan pada hari pertama itu nanti.

Pengurus pasukan, Mohd. Asri Abdul Mubin mengakui, tugas besar menanti pelumba para negara untuk memenuhi impian tersebut yang diletakkan di bahu basikal trek selepas jadual pertandingan diubah untuk memberi laluan kepada acara pembukaan Sukan Para ASEAN pada sebelah malam.

“Jadual asal sepatutnya saingan basikal trek bermula sebelah petang hingga malam. Tetapi untuk memudahkan pelumba para kita turut sama dan tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada acara pembukaan, ia terpaksa diubah pada sebelah pagi bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang," katanya.

Menurutnya, emas pertama temasya itu dijangka diperoleh dalam kategori C1, C2 dan C3 (cacat anggota kudung kaki) dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa lelaki sama ada menerusi Shukor Farhan Suliman atau Muhammad Adi Raimie Amizazahan.

Ini diikuti acara 1km ujian masa kategori C4 (cacat anggota bukan kudung kaki) yang akan dipikul Mohd. Najib Turano dan C5 (cacat anggota lain) yang dipikul Zuhairie Ahmad Tarmizi.

Turut dipertandingkan hari ini adalah acara 200 meter pecut tandem (basikal trek dua tempat duduk) lelaki dan wanita dan 1km ujian masa tandem lelaki dan wanita membabitkan kategori buta.

Bagi kedua-dua acara itu, cabaran negara dalam kategori lelaki akan dipikul empat pelumba iaitu gandingan Muhammad Afiq Afify Rizan (atlet buta) dan Muhammad Khairul Adha Rasol (atlet pilot normal) dan gandingan Muhammad Amin Najmi Romzi (atlet buta) dan Mohd. Firdaus Mohd. Zonis (atlet pilot normal).

Bagi kategori wanita bagi kedua-dua acara itu, sandaran diletakkan di bahu gandingan Nur Syahida Tajidin (atlet buta) dan Nur Rozi Yanti Mat Rodzi (atlet pilot normal) serta gandingan Nur Azlia Syafinaz Mohd. Zais (atlet buta) dan Noraidillina Adilla J. Sam (atlet pilot normal).

Pelumba negara diramal menyumbang lima daripada tujuh emas ditawarkan esok.