Pengurus pasukan, Firdaus Arshad berkata, langkah mengecilkan barisan pelumba pecut tersebut bertujuan memberi tumpuan lebih rapi dalam membentuk gandingan mantap tiga pelumba terbaik dan yang cukup cergas yang dimiliki negara ketika ini.

“Sebenarnya kami sudah hantar senarai lima nama pelumba pecut lelaki kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menyertai acara 200 meter pecut, keirin dan pecut berpasukan tetapi selepas memikirkannya semula, kami merancang untuk menggugurkan dua daripadanya.

“Namun ini tiada kaitan de­ngan keadaan kesihatan Azizulhasni (Awang) yang terkena jangkitan virus seperti ketika Sukan Komanwel lalu sebaliknya pengguguran ini lebih kepada untuk mencapai sasaran meraih tiga emas menerusi ketiga-tiga acara itu,” katanya.

Beliau menambah, semua perancangan ini dibuat selepas berbincang dengan ketua jurulatih basikal trek negara John Beasley tetapi masih perlu mendapat kelulusan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) terlebih dahulu.

“Kalau boleh kita hendak bawa kelima-lima pelumba pecut yang nama mereka telah dihantar kepada MOM tetapi John yang memutuskan untuk menggugurkan dua daripadanya atas sebab-sebab strategi.

“Walau bagaimanapun setakat ini, kami masih belum mahu mendedahkan dua pelumba yang digugurkan itu walaupun nama­nya telah ada di tangan kami. Cuma kami perlu jumpa MSN dahulu baharu boleh dedahkan,” tegasnya.

Ketika ini selain Azizulhasni, skuad negara turut memiliki pelumba pecut terbaik seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Mohamad Shariz Efendi Mohd. Shahrin, Muhammad Fadhil Mohd. Zonis dan Muhammad Khairil Nizam Rasol.