Menyingkap kembali detik tersebut pada 1998, Rozimi adalah watak utama dalam pembikinan watak sang juara Azizulhasni apabila mula mengesan bakat pelumba itu sejak usia 10 tahun.

Rozimi, yang meninggal dunia pada 2015 di usia 43 tahun adalah orang yang bertanggungjawab menyuruh Azizulhasni fokus kepada arena trek, biarpun menyedari pelumba bertubuh kecil itu berkemampuan beraksi dalam hampir kebanyakan acara seperti BMX, MTB, menuruni bukit dan rentas desa.

Sewaktu kecil, dia suka bermain papan selaju sehingga memaksa Rozimi menyuruhnya membuat pilihan antara basikal dan sukan ekstrem tersebut.

Lahir dalam keluarga kurang berkemampuan, Azizul pernah dibekalkan hanya RM100 oleh ibunya, Selamiah Yong untuk bertan­ding dalam Kejohanan Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 2002.

“Jurulatih saya juga bawa wang dalam jumlah lebih kurang sama. Kami terpaksa berkongsi semuanya daripada petrol, tol, makan, minum, malah tidak mempu­nyai basikal.

“Apabila sampai, kami minta izin untuk pinjam basikal daripada pelumba yang murah hati. Fokus kami adalah untuk menang dan Alhamdulillah, saya meraih emas bawah 15 tahun.

“Kami juga tidak mempunyai wang untuk menginap di hotel selepas tamat kejohanan, dan menumpang tidur di rumah rakan jurulatih Rozimi. Kami sempat tidur beberapa jam sebelum pulang ke Dungun pada keesokannya,” katanya.

Sejurus Azizulhasni melakar sejarah muncul juara keirin dunia di Hong Kong, Khamis lalu, isterinya, Athiah Ilyana Abd. Samat mendedahkan, kemena­ngan itu memberi kepuasaan buat dia dan keluarga kerana pengorbanan yang telah dilakukan suaminya.

“Saya tahu betapa besar ke­sungguhan dan pengorbanan yang dilakukannya bukan sahaja kepada keluarga tetapi juga sebagai atlet dan penuntut di Universiti Victoria.

“Masanya terlalu padat. Apabila pulang dari latihan di velodrom, dia akan menumpukan perhatian kepada tugasan universiti sehingga pukul 2 pagi baru tidur.

“Dia akan bangun pukul 4 atau 5 pagi untuk pergi ke gimnasium. Kesungguhannya memberi inspirasi kepada saya,” cerita Athiah Ilyana.

Selain mengecapi pelbagai kejayaan se­panjang bergelar pelumba, ter­masuk meraih gang­sa Sukan Olimpik 2016, Azizulhasni juga pernah terpalit de­ngan kontroversi, selain berdepan detik cemas terlibat kemalangan.

Pada 2014, dia hampir dikenakan tindakan selepas memakai sarung tangan ‘SAVE GAZA’ ketika beraksi pada Sukan Komanwel di Glasgow.

Pada 2011 di Manchester, Azizulhasni menunjukkan semangat luar biasa apabila bangkit dan memimpin basikalnya ke garisan penamat biarpun terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan serpihan kayu tertusuk di betisnya ketika beraksi pada Piala Dunia Klasik.

Azizulhasni, 29, hanya seorang lelaki bertubuh kecil dengan ke­tinggian 1.68 meter, namun dia memiliki jiwa besar, selain dikurniakan bakat luar biasa.

AZIZULHASNI
AWANG

Tarikh lahir 
5 Januari, 1988

Tempat lahir
 Dungun, Terengganu

Tinggi
 1.68 meter

Gelaran 
The Rocket Pocketman

Acara 
Basikal trek

Isteri 
Athiah Ilyana Abd. Samat

Anak2 - Amna Maryam (4), 
Amna Khadeeja (setahun)

PENCAPAIAN

Juara keirin dunia 2017

Pingat gangsa
Sukan Olimpik 2016

Pingat perak keirin 
dunia 2010, pecut 2009

Pingat gangsa keirin
dunia 2016, 2015

Pingat gangsa Sukan Komanwel 2014 (keirin individu), 2010 (berpasukan campuran)