Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Zafrul Aziz sebaliknya berkata, pihaknya akan terus memberikan sokongan kepada Fatehah kerana matlamat asal penajaan adalah untuk misi memburu pingat di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

“CIMB akan terus memberikan sokongan kepadanya (Fatehah) sama seperti tajaan yang diterima dua lagi pelumba elit negara iaitu Azizulhasni (Awang) dan Muhammad Nur Aiman (Rosli).

“Matlamat kita bukanlah Sukan Asia tetapi lebih besar daripada itu adalah membantu Fatehah melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun,” katanya merujuk sokongan CIMB yang mula menaja Fatehah sejak tahun lalu untuk tempoh empat tahun.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika ditemui pada program Fun Ride, CIMB Cycle 2018 di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini. Turut hadir Azizulhasni yang kini berada di Malaysia untuk persiapan ke Sukan Asia selain sedang berusaha untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020.

Di bawah penajaan itu, CIMB dikatakan akan menanggung segala perbelanjaan latihan Fatehah dan kos untuk menghantarnya menyertai kejohanan-kejohanan besar di dalam dan luar negara.

Ketika ini, Fatehah, 28, tidak lagi menjalani latihan di Melbourne berikutan penggugurannya daripada skuad ke Sukan Asia dan kemungkinan juga daripada Program Podium yang dijangka akan diumumkan tidak lama lagi.

Jika sebelum ini, Fatehah berlatih di bawah John Beasley di Melbourne tetapi sejak berakhirnya Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast pada April lalu, pelumba yang berasal dari Terengganu sudah hampir tiga bulan hanya berlatih di Velodrom Nasional Nilai di bawah bimbingan Junaidi Mohd. Nasir.

Fatehah seperti juga Azizulhasni gagal menyinar di Kejohanan Berbasikal (Trek) Asia (ACC) di Nilai pada Februari tahun ini dan juga Sukan Komanwel 2018.

Bagaimanapun Azizulhasni kekal disenarai ke Sukan Asia di Jakarta-Palembang, Indonesia sebaliknya Fatehah digugurkan Beasley berikutan prestasi hambar yang ditunjukkannya itu.