PELUMBA Great Britain, Mark Cavendish menerima rawatan daripada pasukan perubatan selepas mengalami kemalangan sewaktu saingan Tour de France di Vittel, awal pagi tadi. - AFP

Keputusan Cavendish itu dibuat selepas tulang bahunya patah akibat kemalangan mengerikan di penghujung perlumbaan peringkat keempat.

Cavendish dikejarkan ke hospital selepas juara dunia, Peter Sagan menyikunya ke penghadang jalan menuju ke garisan penamat di Vittel.

Insiden tersebut turut menyaksikan Sagan disingkirkan daripada saingan perlumbaan berprestij itu namun pasukannya, Bora menghantar rayuan kepada suruhanjaya perlumbaan Tour de France berkenaan keputusan terbabit.

“Saya kecewa apabila mengetahui tentang keretakan tulang ini.

“Saya berada di kedudukan terbaik untuk menang namun kegagalan mendapatkannya serta terpaksa meninggalkan perlumbaan yang menjadi kemuncak karier saya, cukup menyedihkan buat saya,” kata Cavendish. - AFP