AZIZULHASNI AWANG

Sambil menafikan Gold Coast adalah Sukan Komanwel terakhirnya, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu berusia 30 tahun itu menegaskan beliau akan menyertai temasya seterusnya di Birmingham, England pada 2022.

Hal demikian kerana beliau mahu mengambil semangat dan mengikut jejak legenda berbasikal Britain, Chris Hoy yang masih berkayuh sehingga mencapai usia 37 tahun sebelum bersara pada 2013.

“Saya tidak fikir ini adalah Sukan Komanwel terakhir saya,” tegasnya selepas gagal menjelmakan pingat emas yang begitu diharapkan kontinjen negara dalam acara keirin di sini semalam.

Pada aksi final keirin lelaki di Velodrom Anna Meares, pemilik nama jolokan the pocket rocketman itu hanya menduduki tempat keenam dan terakhir selepas mempamerkan persembahan tidak bermaya akibat jangkitan virus yang dialaminya sejak kejohanan dunia di Apeldoorn, Belanda bulan lalu.

Azizulhasni yang telah mengambil keputusan lebih awal menarik diri daripada acara 200 meter pecut yang sepatutnya disertai hari ini memberi alasan sukar untuk bernafas kesan jangkitan tersebut di dadanya.

Malah jurulatih John Beasley sendiri mengambil keputusan sama kerana tidak mahu membahayakan keselamatan dan risiko kesihatan anak buah kesayangannya itu.

“Kalau ikutkan, saya memang hendak sertai acara pecut tapi jurulatih buat satu keputusan yang pada saya cukup matang untuk tarik diri dan beri ruang kepada saya untuk pulih sepenuhnya sebelum meneruskan persiapan menghadapi Sukan Asia pula,” tambahnya.