Sebaliknya bekas atlet 100 meter lari berpagar wanita negara itu lebih suka melihat kepentingan basikal secara keseluruhan iaitu sama pentingnya dengan sukan-sukan lain untuk menjadikan Malaysia juara keseluruhan.

“Saya sebagai ketua kontinjen lebih suka melihat semua sukan sebagai penyumbang penting pingat emas kepada Malaysia.

“Jadi saya tidak akan meletakkan sukan berbasikal atau mana-mana sukan sebagai lubuk emas sebab saya yakin ia akan memberi tekanan yang lebih kepada mereka (pelumba negara).

“Sudah tentu itu bukan satu perkara yang adil memandangkan mereka sudah berlatih keras. Apa yang kita hendak ialah mewujudkan satu keadaan di mana mereka selesa, lebih fokus dan tidak payah fikir benda-benda lain kecuali prestasi mereka sahaja pada Sukan SEA nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Velodrom Nasional Nilai untuk bertemu dengan pelumba basikal trek negara di sini hari ini.

Bagaimanapun menurut Marina, beliau hanya dapat bertemu dengan pelumba trek endurance (acara jarak jauh) sahaja hari ini memandangkan pelumba-pelumba pecut masih menjalani latihan di Melbourne termasuk Azizulhasni Awang, Fatehah Mustapha dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

“Mereka hanya akan pulang esok (Rabu) dan harapan saya, pelumba trek kita akan mencatat kejayaan besar di Sukan SEA 2017 nanti,” tegasnya.

Mengenai pemilihan Azizulhasni sebagai salah seorang daripada pembawa bendera kontinjen negara pada upacara pembukaan temasya kali ini, Marina menyifatkan ia satu penghormatan kepada sukan berbasikal trek itu sendiri.

“Itu satu penghargaan kepada Azizul sebagai juara dunia (keirin) dan basikal trek itu sendiri,” ujarnya.

Selain Azizulhasni, dua lagi juara dunia yang akan menjadi pembawa bendera adalah Al Jufferi Jamari dari sukan silat dan penerjun, Cheong Jun Hoong. - UTUSAN ONLINE