Selepas 11 tahun berkhidmat bersama skuad kebangsaan, kontrak warga Australia itu akan tamat hujung tahun ini.

Bagaimanapun matlamat beliau untuk melahir dan mengembangkan lebih ramai bakat muda, selain menghadiahkan pingat emas Olimpik pertama untuk negara pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Perancangan saya ialah untuk tinggal di sini selagi Malaysia mahukan khidmat saya...Sehinggalah Malaysia berkata khidmat saya tidak diperlukan lagi, saya akan pergi.

“Saya telah ditawarkan pekerjaan lain, tetapi kami telah bermula di sini dan masih lagi belum selesai,” katanya dalam sidang akhbar ‘Road to Tokyo 2020’ bersama Yayasan Sime Darby (YSD) di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi YSD, Tun Musa Hitam.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, pelumba elit negara, Shah Firdaus Sahrom melaungkan kesediaan untuk menggalas cabaran besar dalam sukan berbasikal trek selepas ketiadaan raja keirin dunia, Azizulhasni Awang satu hari nanti.

Jelas pelumba kelahiran Muar, Johor itu, dia sentiasa dalam keadaan bersedia bukan kerana mahu menjadi jelmaan Azizulhasni semata-mata, sebaliknya lebih kepada tanggungjawab terhadap negara tercinta.

“Jadi pelumba ini kita kena sedia, bukan nak jadi pengganti Azizul (sahaja) tetapi mahu bawa nama negara. Saya mahu berikan yang terbaik setiap kali berlumba.

“Saya masih mentah banyak perkara yang perlu saya belajar,” ujarnya.

CAPTION: Tun Musa Hitam (empat dari kiri) dan John Beasley (empat dari kanan) bersama pelumba kebangsaan dalam sidang akhbar program ‘Road to Tokyo 2020’ bersama Yayasan Sime Darby di Kuala Lumpur, semalam. – utusan/FAIRUZ IZYANA AYUB