Malaysia menampilkan kelainan dalam edisi ke-29 Sukan SEA dengan menyenaraikan tiga pembawa Jalur Gemilang yang menyaksikan dua lagi juara dunia, Al Jufferi Jamari dan Cheong Jun Hoong turut diberi penghormatan bersama Azizulhasni.

Azizulhasni yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 menyifatkan pemilihan itu sebagai satu penghargaan buat dirinya dan juga tanggungjawab yang sangat besar untuk mereka bertiga bersama kontinjen negara.

“Kali terakhir saya menjadi pembawa bendera adalah di Sukan Olimpik 2012 dan untuk Sukan SEA 2017, saya dapat rasakan kelainannya kerana saya bersama Jufri dan Jun Hoong akan membawa Jalur Gemilang di hadapan jutaan rakyat Malaysia serta penyokong-penyokong saya.

“Terima kasih di atas pemilihan kami sebagai pembawa bendera kontinjen Malaysia.

“Saya juga berharap keberadaan kami bertiga sebagai pembawa Jalur Gemilang akan menaikkan lagi motivasi serta semangat juang barisan atlet negara yang bakal berjuang untuk melombong sebanyak mungkin pingat emas bagi memastikan Malaysi menjadi juara ke­seluruhan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Sementara itu, Azizulhasni berkata, dia tidak sabar untuk menunggu hari perasmian Sukan SEA 2017 dan mengakui sedang melakukan persiapan sebaik mungkin bagi memastikan kelancaran program itu.