Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, keputusan tersebut perlu diperoleh pada minggu pertama bulan Ogos.

“Sebelum ini saya umumkan acara itu digugurkan namun ada meletak syarat pengguguran itu mungkin akan disemak semula sekiranya pihak persatuan dan Kementerian Belia dan Sukan boleh mendapatkan pengiktirafan UCI.

“Ini syarat yang dipersetujui oleh semua pihak dan setakat ini acara itu masih digugurkan. Persatuan juga memberi komitmen akan perkara ini dan jika mendapatkan pengiktirafan, kita akan semak semula,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Howard Lee mengumumkan acara basikal trek Sukma 2018 dibatalkan kerana Velodrom Rakyat di sini tidak selamat kerana lantai yang reput dan ada bahagian yang sudah terjungkit serta terdapat serpihan yang membahayakan pelumba.

Namun Presiden Persatuan Berbasikal Perak (PCA), Datuk Amarjit Singh menegaskan venue tersebut boleh digunakan untuk Sukma sambil mengesahkan trek velodrom tidak reput, boleh dipakai dan berada dalam keadaan baik. - UTUSAN ONLINE