Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, trek kayu di velodrome tersebut sudah reput, terkopak dan berlumut walaupun selepas kerja baik pulih yang menelan belanja RM11 juta.

Menurutnya, melihatkan keadaan itu adalah mustahil untuk acara basikal trek dilangsungkan di velodrome tersebut pada Sukma Perak 2018 yang dijadualkan dari 12 hingga 22 September ini.

"Trek ini tidak sesuai untuk diadakan perlumbaan kerana terlalu membahayakan pelumba. Jika ada pihak yang bertegas mahu trek ini digunakan juga, saya akan lawan habis-habisan sebab ini bukan hal pingat, bukan nak salah atau memalukan sesiapa, tapi ini soal keselamatan atlet.

"Saya tak yakin tempat ini akan memberikan keselamatan yang sepenuhnya untuk para atlet," katanya ketika meninjau velodrom tersebut, di sini hari ini.

Basikal trek Sukma Perak 2018 mempertandingkan 12 acara iaitu masing-masing enam acara lelaki dan wanita.

Menurutnya, setakat ini pihaknya tidak mempunyai alternatif lain untuk penganjuran acara basikal trek selain membatalkannya.

"Saya akan pastikan (acara basikal trek) digugurkan, tiada alternatif lain. Biar saya pikul tanggungjawab bahawa acara ini perlu digugurkan, berbanding jika atlet kita tercedera akibat velodrom yang tak sempurna," katanya. - UTUSAN ONLINE