Harapan tinggi dan terakhir yang diletakkan di bahu Fatehah Mustapa dalam acara keirin wanita untuk menjelmakan pingat yang ditunggu-tunggu sejak empat hari lalu ternyata tidak kesampaian apabila penyertaannya dibatalkan ketika beraksi di pusingan kedua walaupun berjaya menduduki tempat kedua dan sepatutnya layak ke penentuan pingat emas.

Namun keputusan komisar menerima bantahan Kanada yang mendakwa Fatehah menghalang pelumbanya, Amelia Walsh ketika menuju ke garisan penamat menyaksikan peluang skuad basikal trek berkubur begitu sahaja.

Walaupun skuad negara mempunyai wakil pada penentuan emas selepas itu iaitu Farina Shawati Mohd. Adnan namun ketiadaan Fatehah dan kekurangan pengalaman menyukarkannya untuk mengatur strategi dan sekadar menamatkan saingan di tempat keempat sahaja.

Pengurus pasukan, Ramlay Ibrahim berkata, jika penyertaan Fatehah tidak dibatalkan, peluang meraih pingat yang dinanti-nantikan amat cerah kerana ada dua pelumba negara dalam aksi final keirin wanita itu.

“Selepas berbincang dengan John (Beasley), kami tidak bercadang membuat rayuan terhadap pembatalan penyertaan Fatehah itu kerana merasakan peluang untuk diterima agak tipis.

“Dalam waktu sama, kami harap Farina boleh menjelmakan pingat. Tapi sayang dia hanya mampu menduduki tempat keempat sahaja pada final keirin itu,” katanya.

Turut gagal menyumbang pingat hari ini adalah Muhammad Shah Firdaus yang sekadar menduduki tempat ke-17 dalam acara 1km ujian masa selain Muhammad Fadhil Mohd. Zonis di tempat ke-11 dan Irwandie Lakasek ke-19.

Dalam acara scratch wanita, Ju Pha Som Net sekadar menduduki tempat ke-13.

Dengan pencapaian terburuk itu, ini kali pertama sejak 2010 basikal trek gagal membawa pulang sebarang pingat sekali gus mengulangi pencapaian pada temasya 2006 di Melbourne.

Pada 2010, basikal trek berjaya menyumbang satu emas menerusi Josiah Ng dalam acara keirin, satu perak menerusi Mohd. Rizal Tisin dalam acara 1km ujian masa dan satu gangsa menerusi gandingan Josiah, Azizulhasni Awang dan Rizal dalam pecut berpasukan.

Malah pada 2014, basikal trek masih berjaya menyumbang satu gangsa menerusi Azizulhasni dalam acara keirin lelaki.