Selepas waktu petang menyaksikan Irwandie Lakasek tampil sebagai penyumbang pembuka gelanggang dengan menjuarai acara scratch lelaki, sebelah malam pula skuad basikal trek negara menokok dua lagi emas.

Emas kedua negara diraih menerusi gandingan trio pecut berpasukan lelaki iaitu Mohd. Shariz Efendi, Mohd. Fadhil Mohd. Zonis dan Mohd. Khairil Nizam Rasol yang mencatat masa 44.776s menewaskan trio Thailand yang mencatat masa 45.735s.

Gangsa pula menjadi milik Indonesia (46.749s) yang sebelum itu menewaskan Singapura dalam aksi penentuan tempat ketiga/keempat.

“Kami hampir mencipta rekod baharu kebangsaan tetapi itu bukan matlamat kami kerana yang penting emas sudah berada dalam tangan,” kata Shariz, 20, selepas perlumbaan.

Tidak puas dengan dua emas, duo pecut berpasukan wanita tidak mahu ketinggalan dengan menyumbang emas ketiga buat kontinjen negara.

Gandingan Fatehah Mustapa dan Farina Shawati Mohd. Adnan bagaimanapun diberi tentangan sengit duo Indonesia sebelum menang dengan catatan masa 34.671s berbanding lawan mereka 35.211s.

“Ini satu permulaan yang baik dan saya harap dapat menyumbang tiga lagi emas selepas ini,” kata Fatehah, 28, yang akan menyertai 200 meter pecut wanita, 500 meter ujian masa wanita dan keirin wanita selepas ini.

Detik gemilang skuad basikal trek negara bagaimanpun gagal diteruskan Ju Pha Som Net yang hanya mampu menyumbang pingat gangsa dalam acara omnium wanita.

Masa yang dicatat trio pecut berpasukan negara

Catatan masa gandingan Fatehah Mustapa dan 
Farina Shawati Mohd. 
Adnan sekali gus 
menyumbang pingat emas 
yang ketiga buat Malaysia