Jika dicampur empat emas yang diraih pada hari pertama semalam, keseluruhannya skuad lebuh raya negara berjaya merangkul 10 daripada 14 emas yang ditawarkan.

Itu tidak termasuk 12 emas yang disapu bersih skuad basikal trek di Velodrom Nasional, Nilai untuk menjadikan jumlah keseluruhan 22 emas menjadi milik pelumba para negara daripada 26 yang menjadi rebutan dalam temasya kali ini.

Pencapaian di luar jangkaan ini tidak akan tercapai tanpa sumbangan empat emas masing-masing daripada Mohd. Najib Turano dan Nur Azlia Syafinaz Mohd. Zais bersama pelumba pilotnya, Nor Aidillina Adilla J. Sam.

Hari ini, Najib menyumbang emas keempat dan terakhirnya dengan menjuarai acara lepas beramai-ramai kategori C4 (cacat anggota) lelaki, manakala Azlia/Adilla dalam acara tandem lepas beramai-ramai kategori cacat penglihatan wanita.

Dalam perlumbaan sejauh 49.2 kilometer, Najib mencatat masa 1 jam 24 minit 11 saat untuk menang tipis ke atas pelumba Filipina, Taberna Godfrey Ezperanzate walaupun keduanya kelihatan seakan tiba serentak di garisan penamat. Gangsa pula milik pelumba Indonesia, Muhammad Fadli Imammuddin.

Azlia/Adilla pula menang emas pada perlumbaan sejauh 61.5km selepas menewaskan pelumba Singapura, Emily Bee/Sarah Tan yang menang perak. Tiada pemenang gangsa kali ini selepas dua pasang pelumba lagi terpaksa menarik diri.