NUR AZALIA SYAFINAZ MOHD. ZAIS mengibarkan Jalur Gemilang ketika meraikan kejayaannya bersama Noraidillina Adilla J. Sam semalam.

Malah, keputusan menerima tawaran untuk bertanding dalam acara berbasikal ternyata membuahkan hasil yang lumayan apabila menyumbang dua pingat emas walaupun membuat penampilan sulung di temasya dwitahunan itu.

Katanya, secara peribadi, beliau tidak menyasarkan sebarang pingat pada penampilan pertama kalinya kerana merasakan tempoh latihan yang agak singkat selepas menerima tawaran untuk menukar acara sukan pada bulan Mei lepas.

“Saya gementar sebab ini kali pertama saya bertanding dalam sukan berbasikal dan hanya menjalani latihan selama tiga bulan sahaja,” kata atlet berusia 19 tahun itu.

Nur Azlia Syafinaz, yang juga anak kedua daripada empat adik beradik. bertanding dalam kate­gori (B) iaitu cacat penglihatan, mengalami kecacatan sejak kecil dan pernah menerima pendidikan di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Alma di Bukit Mertajam.

Atlet kelahiran Butterworth, Pulau Pinang itu meraih pingat emas dalam acara pecut (B) dan satu kilometer (B) wanita bersama jurumudinya Noraidillina Adila J. Sam.

Dalam acara pecut (B) wanita, Nur Azlia Syafinaz menyingkirkan pelumba Singapura, Emily Lee dengan jurumudinya Sarah Tan Hui Zhen, 2-0 pada peringkat akhir.

Terdahulu, pelumba genit itu merekod masa 13.264 saat untuk mara ke pusingan separuh akhir sebelum mengetepikan pelumba Singapura, Delia Kang 2-0, untuk mara ke akhir.

Sementara itu, jurumudi, Noraidillina Adila pula berkata dengan kemenangan hari ini, beliau berharap ia menjadi batu loncatan kepadanya dan juga Nur Azlia Syafinaz untuk meneruskan kerjaya dalam bidang sukan berbasikal negara. – BERNAMA