Hadiah untuk kedua-dua kategori disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam majlis gilang-gemilang di sini malam ini.

Kedua-duanya bagaimanapun tidak dapat menghadiri majlis tersebut kerana masing-masing menghadapi kejohanan dan latihan intensif di luar negara.

Azizul, 30, dari Dungun, Terengganu yang terkenal de­ngan nama jolokan The Pocket Rocketman meraih Anugerah Atlet Terbaik buat kali kedua selepas memenangi Anugerah SAM-100Plus 2009.

Selepas sekian lama menanti, Malaysia akhirnya melahirkan seorang pelumba basikal berstatus juara dunia apabila Azizul memenangi acara keirin dalam Kejohanan Dunia di Hong Kong pada 13 April tahun lepas.

Azizul kini berada di Apleldorn, Belanda untuk mempertahankan jersi pelangi yang dipegangnya selaku juara dunia dalam Kejohanan Dunia yang akan tamat pada 4 Mac ini.

Sementara itu, Ziyad sedang menjalani latihan intensif di Leipzig, Jerman sebagai persediaan ke Kejohanan Grand Prix Olahraga Para Dunia di Dubai pada 13 hingga 16 Mac ini.

Jaguh lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) itu mencipta pelbagai kejayaan sepanjang 2017.

Atlet dari Gombak, Selangor itu meraih pingat emas untuk mencipta rekod baharu dunia dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London selepas cemerlang memegang rekod dunia dalam Sukan Paralimpik Rio de Janeiro pada 2016.

Sekembalinya dari London, dia mencipta kejutan apabila memenangi pingat gangsa dalam penampilan sulungnya menentang atlet normal dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, sebelum mempertahankan emas Sukan Para ASEAN buat kali keempat berturut-turut.

Sementara itu, atlet cilik sukan ski air Aaliyah Yoong Hanifah yang mencipta pelbagai kejayaan sepanjang tahun 2017 dinobatkan sebagai penerima Anugerah Atlet Muda.

Selepas menilai prestasi atlet-atlet negara, baik atlet kebangsaan mahu pun atlet profesional, sepanjang tahun lepas, SAM menobatkan pasukan boling elit wanita dan juga pemain golf profesional Gavin Kyle Green sebagai penerima Anugerah Khas.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pula dipilih sebagai penerima Anugerah Persatuan Dinamik berdasarkan kepada pengiktirafan dalam pelbagai program pembangunan bakat muda, yang diusahakan oleh badan induk itu yang kini nyata di landasan yang tepat.

Kejayaan tiga pasukan muda negara iaitu skuad Bawah 23 Tahun (B-23), B-19 dan B-16 melakar sejarah tahun lalu apabila melangkah ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memang memberangsangkan dan kini mampu menempatkan diri dalam kelompok elit di Asia.

SAM turut memberi penghargaan kepada Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja’afar sebagai menghargai sumbangannya terhadap pembangunan sukan.