Ia memang seperti yang dijangkakan memandangkan Azizulhasni, 30, awal-awal lagi sudah mengumumkan dia tidak cergas sepenuhnya daripada jangkitan virus yang dihidapinya ketika kejohanan dunia di Apeldoorn, Belanda bulan lalu.

“Disebabkan masalah jangkitan virus di bahagian dada ini, saya minta maaf tidak dapat memberikan pingat kepada negara. Saya dah mencuba yang terbaik tadi tetapi tiada tenaga untuk melakukannya. Memang perit setiap kali habis berlumba, rasa macam sukar untuk bernafas,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata Azizulhasni, dia bersikap positif untuk bangkit khususnya pada Sukan Asia nanti.

Pada aksi final itu, pemilik nama jolokan the pocket rocketman itu dilihat mencuba bersungguh-sungguh dengan sempat berada di depan pada satu ketika.

Namun ketika semua pelumba melakukan pecutan di pusingan terakhir, di situ nampak jelas Azizulhasni seperti tidak bermaya sebaliknya membiarkan lawan lain terus ke depan dan tidak mengejar lagi.

Dengan kegagalan itu bermakna, Azizulhasni terus kempunan pingat emas Sukan Komanwel kerana sebelum ini hanya pernah menang dua gangsa sahaja dalam dua temasya terakhir sebelum ini.

Acara keirin hari ini dimenangi pelumba tuan rumah, Matt Glaetzer manakala perak milik pelumba Wales, Lewis Oliva dan gangsa milik pelumba New Zealand, Edward Dawkins.

Terdahulu pada pusingan pertama, Azizulhasni sudah menunjukkan tanda-tanda kecergasannya tidak begitu baik apabila hanya menduduki tempat kedua dan begitu juga ketika di pusingan kedua.

Sementara itu dua lagi pelumba negara yang beraksi dalam acara keirin lelaki ini iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd. Zonis terkandas di pusingan repecharge.