Perkara itu disahkan pengurus pasukan, Ramlay Ibrahim yang mengakui apa dibimbangkan sebelum ini akhirnya berlaku juga di saat akhir berikutan keadaan Azizulhasni masih lemah.

Bagaimanapun pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu hanya disahkan Ramlay menarik diri dalam acara pecut 200 meter sahaja yang dijadual berlangsung Sabtu ini.

Namun untuk acara kegemarannya iaitu keirin esok, sudah agak terlewat untuk berbuat demikian dan Azizulhasni pula bersetuju meneruskannya walaupun dalam keadaan dirinya yang tidak cergas.

“Kami buat keputusan ini semalam dengan berat hati. Kita buat ini kerana kesiankan Azizulhasni yang dalam keadaan lemah dan tidak cergas. Kita takut terjadi perkara lebih buruk kepadanya jika meneruskan untuk terus berlumba.

“Tetapi untuk acara keirin esok, dia bersetuju untuk turun juga beraksi kerana sudah agak terlewat untuk menarik diri. Saya tidak tahulah macam mana dia akan beraksi esok,” kata Ramlay.