Berdasarkan ranking semasa yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) hari ini, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu menduduki tangga ke-19 dunia dalam 200m pecut, 13 (keirin) serta 19 bagi pecut berpasukan bersama dua pelumba lain.

Ia mengatasi ranking terdahulu - 25 (200m pecut), 15 (keirin) serta 24 dalam pecut berpasukan, iaitu sebelum dia menyertai Siri 1 Piala Dunia Trek di Perancis (19-21 Oktober) dan Siri 2 Piala Dunia Trek di Kanada dari 25-28 Oktober lalu.

Walaupun tersingkir seawal pusingan pertama dalam 200m pecut dan keirin pada dua siri pertama Piala Dunia Trek, Azizulhasni, 30, masih dapat meraih mata tetapi dengan jumlah yang kecil.

Dalam 200m pecut, kejayaan menduduki tempat ke-23 pada Piala Dunia Trek I dekat Perancis membolehkan Azizulhasni meraih 60 mata manakala dalam Piala Dunia Trek II di Kanada, dia mengutip 50 mata.

Dalam keirin, Azizulhasni memperoleh 175 mata selepas menduduki tempat ke-13 di Perancis dan 120 mata (tangga ke-17) di Kanada.

Jika kedudukan dalam tiga acara ini diambil kira, Azizulhasni tiada pilihan perlu mencatat keputusan yang lebih baik apabila ber­aksi pada Siri 3 di Jerman dari 30 November-2 Disember.

Siri 4 pula akan diadakan di London dari 14-16 Disember ini.