Ternyata tahun 2017 menjadi penamat kepada penantian Malaysia yang selama ini berusaha keras membentuk pelumba terbaik bagi menggegar pentas antarabangsa, termasuk membabitkan pelumba para.

Ketika tumpuan lebih diletakkan kepada badminton untuk menamatkan kemarau gelaran dunia, Azizulhasni tiba-tiba muncul dari belakang untuk menjuarai acara keirin dalam kejohanan basikal trek dunia di Hong Kong, April lalu.

Kejayaan atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu pada usia 29 tahun jelas membuktikan pelaburan besar yang dilakukan Kementerian Belia dan Sukan serta penaja seperti Sime Darby dan CIMB termasuk menghantar mereka berkampung dan berlatih di Melbourne, Australia benar-benar berbaloi.

Kini ke mana-mana sahaja dia bertanding, Azizulhasni dengan gahnya akan menyarung jersi pelangi sebagai menandakan Malaysia kini sudah mempunyai satu nama besar dalam sukan basikal trek di dunia.

Ini termasuklah ketika beraksi dalam Sukan SEA 2017 Ogos lalu yang menyaksikan Malaysia bukan tandingan negara Asia Tenggara lain dalam sukan basikal trek.

Jurang prestasi dilihat jauh berbeza yang mana skuad negara hampir menyapu bersih kesemua 13 emas yang ditawarkan. Azizulhasni sendiri menyumbangkan emas ke-11 dan terakhir menerusi acara kegemarannya iaitu keirin.

Fatehah Mustapa muncul penyumbang terbesar pingat emas buat skuad basikal trek pada temasya kali ini dengan empat emas yang diraih menerusi acara keirin, pecut berpasukan, 200 meter pecut dan 500 meter ujian masa wanita.

Begitupun, basikal trek mahu pun lebuh raya, basikal bukit atau BMX bukan hanya memerlukan peruntukan kewangan besar untuk terus ‘bernyawa’ tetapi juga memerlukan pengendalian kewangan yang berhemah, jujur dan benar-benar telus dalam melaksanakan program pembangunan yang berterusan.

Kes rayuan di Mahkamah Tinggi membabitkan bekas timbalan presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad yang diarah memulangkan semula sebahagian wang tajaan berjumlah RM288,272.56 kepada Sime Darby daripada keseluruhan RM2 juta yang diperuntukkan harus dijadikan pengajaran oleh pemimpin persatuan itu.

Isu Velodrom Rakyat yang diarah dirobohkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) kerana kerja baik pulih yang dilakukan kontraktor tidak mengikut spesifikasi pembinaan (homologation) yang ditetapkan, satu lagi kerugian kepada negara.

Selepas Kemeterian Belia dan Sukan mengeluarkan belanja RM11 juta, berbaloikah velodrom tersebut hanya layak digunakan untuk penganjuran Sukan Malaysia di Perak sahaja tahun depan sedangkan peruntukan sebanyak itu sepatutnya mampu menjadikan ia satu venue basikal trek bertaraf antarabangsa.

Isu perlumbaan jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) juga tidak terkecuali daripada kemelut kewangan. Persoalannya di sini ialah bagaimanapun peruntukan RM11 juta yang telah diluluskan Kementerian Kewangan untuk menganjurkannya tahun ini hanya digunakan separuh (RM5.5 juta).

Penganjuran LTdL 2017 se­perti melepaskan batok di tangga menerusi bajet terendah dalam sejarah perlumbaan. Akibatnya pengendali perlumbaan, Ciclista Sport Sdn. Bhd. dibebani masalah gagal membayar wang hadiah kemenangan.