Ini rentetan tindakan Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia 2018 (IOCAG 2018) yang hampir pasti tidak menyenaraikan tiga acara elit iaitu keirin lelaki dan wanita elit, pecut berpasukan (lelaki dan wanita elit) serta pecut (lelaki dan wanita) pada temasya tersebut.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab mendedahkan, keputusan kontroversi tersebut dinyatakan dalam surat yang diterima daripada Setiausaha Agung Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), Ongkar Singh tiga hari lalu.

Beliau menjelas surat bertarikh 19 Julai 2017 tersebut mendedahkan bahawa ACC telah pun dimaklumkan bahawa tiga acara Sukan Olimpik tersebut tidak akan dipertandingkan di Sukan Asia 2018 di Jakarta.

“Saya terima email surat tersebut tiga hari lalu dan saya sudah pun berhubung dengan beberapa negara besar seperti Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan China untuk pengesahan tentang perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan PKBM, hari ini.

Dalam surat tersebut, Ongkar Singh yang berasal dari New Delhi, India menjelaskan bahawa ACC memandang serius dan amat prihatin tentang tindakan Indonesia untuk tidak menyenaraikan tiga acara trek yang sangat popular di seantero dunia khususnya Sukan Olimpik.

Katanya, ACC menjelaskan bahawa beberapa pelumba Asia seperti Mohd. Azizulhasni dari Malaysia, Nagai Kiyofumi dari Jepun dan pelumba kelahiran Hong Kong, Lee Wai Sze telah memenangi pingat dalam acara keirin pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing, Sukan Olimpik 2012 (London) serta Sukan Olimpik 2016 (Rio de Janeiro).

Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) seterusnya menjelaskan bahawa ACC juga amat berbangga dengan kejayaan Mohd. Azizulhasni muncul juara dalam Kejohanan Trek Dunia 2017 di Hong Kong, April lalu.

“Ini membuktikan Asia adalah kuasa besar dalam sukan trek. Jadi ACC amat kecewa dengan tindakan Indonesia. Saya difahamkan ACC telah pun menulis surat kepada Presiden OCA (Majlis Olimpik Asia), Syeikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah.

“Saya difahamkan isi kandungan surat kepada Syeikh Ahmad bertujuan membantah tindakan IOCAG 2018. Bagaimanapun, saya akan cuba berhubung lanjut dengan ACC,” katanya.

Abu Samah menyatakan tindakan IOCAG 2018 akan melumpuhkan peluang pelumba Asia seperti Mohd. Azizulhasni, Watanabe dan Wai Sze untuk menambah kutipan mata bagi kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

“ACC menegaskan bahawa tiga acara tersebut sebelum ini sentiasa dipertandingkan dalam Sukan Asia, Sukan SEA dan Kejohanan Berbasikal Asia. Di sini pelumba Asia berpeluang untuk menambah kutipan mata untuk ke Sukan Olimpik 2020 nanti,” katanya.

Bagi Mohd. Azizulhasni, peluang untuk menebus semula episod hampa Sukan Asia 2014 di Incheon kini tinggal impian jika IOCAG 2018 kekal dengan keputusan mereka.

Dalam perlumbaan akhir acara keirin di Incheon, kemenangan Mohd. Azizulhasni dibatalkan kerana didakwa melakukan kesalahan ke atas musuh tradisinya, Watanabe. - UTUSAN ONLINE