Selepas hanya menang gangsa dalam keirin, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu tidak dapat mengotakan janjinya ke­rana terpaksa akur dengan kehebatan musuh ketatnya di peringkat Asia, Kazunari Watanabe dari Jepun pada aksi final yang sengit dan mendebarkan.

Kekalahan ini bermakna Azizulhasni gagal memenuhi sasaran yang diletakkan kepadanya oleh skuad berbasikal negara untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu emas daripada kejohanan ini. Dia hanya mampu menyumbang satu perak dan satu gangsa sahaja.

“Saya minta maaf kerana te­lah cuba sebaik mungkin tetapi masih gagal untuk menceriakan penyokong sendiri yang mahu menyaksikan saya menang emas di bumi Malaysia,” katanya selepas perlumbaan.

Pelumba negara berusia 29 tahun itu bagaimanapun memberi tentangan sengit kepada Watanabe sebelum tewas dalam dua saringan final yang dijalankan.

Dengan kegagalan Azizulhasni ini, skuad basikal trek negara hanya mampu meraih satu emas daripada ACC setakat ini yang disumbang Jupha Som Net dalam acara perlumbaan mata wanita.

Sementara itu, pelumba ju­nior, Alif Aiman Safuan turut mengikut jejak Azizulhasni apabila tewas di tangan pelumba India, Esow Esow juga dalam aksi final 200 meter pecut junior lelaki.

Bagaimanapun kehampaan skuad junior ditebus Zulhelmi Zainal yang menceriakan kem Malaysia apabila menjuarai acara 3km kejar mengejar individu ju­nior lelaki.

Pada aksi final, Zulhelmi mencatat masa 3min:24.985s menewaskan pelumba Kazakhstan, Maxim Gridchin yang terpaksa berpuas hati dengan pingat pe­rak. Gangsa pula menjadi milik pelumba Korea Selatan, Jang Hun.

Dengan pencapaian Zulhelmi dan Alif itu membolehkan skuad junior negara sudah meraih satu emas, dua perak dan satu gangsa setakat ini menjelang hari terakhir kejohanan esok.