Pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 itu yang gagal memenangi sebarang pingat dalam dua edisi Piala Dunia sebelum ini, di Perancis dan Kanada, membuktikan kemampuannya apabila menamatkan saingan di tempat ketiga dalam acara keirin lelaki pada kejohanan berlangsung di Velodrom Berlin.

Perlumbaan tersebut dimenangi pelumba Belanda, Matthijs Buchli manakala Matthew Glaetzer dari Australia di tempat kedua.

“Alhamdulillah, syukur. Menang gangsa acara keirin di Kejohanan Trek Piala Dunia di Berlin, Jerman,” kata Azizulhasni dalam Istagram.

Terdahulu, jaguh basikal negara berasal dari Dungun, Terengganu berusia 30 tahun itu layak ke aksi final bagi menentukan kelompok enam pelumba terbaik buat pertama kali selepas gagal berbuat demikian di dua siri Kejohanan Trek Piala Dunia di Perancis dan Kanada, sebelum ini.

Kejayaan itu bukan hanya membakar semangat Azizulhasni untuk terus berusaha dan mencatat kejayaan lebih cemerlang dalam siri keempat Kejohanan Trek Piala Dunia 2018 yang bakal diadakan di London, pada 14 hingga 16 Disember ini, malah mencerahkan peluang untuknya untuk layak ke Kejohanan Dunia dan Asia 2019 serta Olimpik Tokyo 2020.

Sementara itu, Azizulhasni yang bergandingan dengan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis gagal mara ke separuh akhir acara pecut lelaki berpasukan apabila menduduki tempat ke-13 daripada 15 pasukan dalam perlumbaan pada Jumaat lalu. - UTUSAN ONLINE