Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata Azizulhasni akan menguji velodrom itu ming­gu depan sebagai penghormatan kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu.

“Azizulhasni akan balik malam ini (dari Hong Kong) dan sebelum Velodrom Nasional, Nilai dise­rahkan pada hujung bulan ini, dia akan diminta menjadi pelumba trek pertama yang mengujinya minggu depan,” katanya.

Azizulhasni, 29, mencipta sejarah apabila menjadi pelumba Asia Tenggara pertama memenangi pingat emas Kejohanan Dunia dan yang kedua dari Asia melakukannya selepas menewaskan dua pelumba terbaik dunia dari Republik Czech dan Colombia di Velodrom Hong Kong.

Khairy ditemui selepas me­rasmikan Kejohanan Balapan dan Padang Ke-24 Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail (2), Kuala Lumpur di Stadium Mini Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini hari ini.

Sekolah berkenaan merupakan antara lebih 30 sekolah seluruh negara yang dipilih menjadi tuan rumah Program Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Kesembilan, KL2017 @ Sekolah.

“KL2017 @ Sekolah akan terus menyemarakkan sokongan rakyat terhadap kedua-dua temasya itu dan misi kontinjen Malaysia untuk muncul juara keseluruhan Sukan SEA selain pendekatan menerusi Larian Obor mulai Mei ini.

“Kita juga akan lebih banyak memperkenalkan atlet muda negara kepada pelajar,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia 2017 (MASOC).

Terdahulu beliau turut membuat kejutan di depan hadirin stadium dengan menyarung kostum maskot Sukan SEA, ‘Rimau’ dan menyertai persembahan gimrama dan senamrobik murid-murid sekolah itu.

Sambil tertawa kecil katanya: “Saya tidak pasti dapat mengulangi gimik maskot Sukan SEA itu. Baju Rimau ini memang tebal, habis berpeluh sampai macam saya sudah tidak perlu bersenam lagi selepas ini.

“Mungkin untuk acara ter­tentu saya boleh jadi Rimau lagi namun sekurang-kurangnya saya faham pengorbanan mereka yang pernah menyarung kostum ini.

“Dulu ketika mengikuti La­rian Obor Sukan SEA, saya tengok orang yang memakainya macam senang sahaja kerjanya - menari dan bertepuk sebelah tapak tangan dengan orang ramai,” katanya.